Inilah Kisah Saya...
Kejayaan itu bukan satu jalan sehala, tetapi satu perjalanan yang berterusan. Kisah-kisah jatuh bangun dalam perniagaan adalah sebagai iktibar yang berharga - apabila kita berhenti mencuba, kita akan gagal.
Mengapa ramai orang yang telah berjaya tetapi kemudiannya gagal?
Satu
sebab utama ialah kerana kita menganggap kejayaan itu adalah proses satu hala. Jadi,
kita lakukan segala-galanya hanya untuk menuju kepada kejayaan.
Tetapi selepas kita memperolehnya, kita rasa kita sudah berjaya, kita
kekal di zon selesa, dan terus kita berhenti dari melakukan usaha
yang menjadikan kita kekal berjaya. Dan
tidak lama kemudian, kita mula merosot.
Saya
katakan ianya boleh berlaku, kerana ianya memang telah berlaku kepada saya.
DULU :
Demi
kejayaan, saya berusaha gigih, saya sentiasa bersemangat dan terdorong.
Tetapi saya berhenti, kerana saya menganggap, “Oh, saya sudah berjaya, saya
boleh berehat dan tidak perlu bersusah payah lagi sekarang.”
Demi kejayaan, saya sering cuba memperbaiki dan melakukan usaha yang terbaik. Tetapi saya berhenti melakukannya, kerana saya menganggap, “Hei, saya sudah bagus, saya tidak perlu berlebih-lebih meningkatkan diri lagi.”
Demi kejayaan, saya bijak menghasilkan idea-idea yang baik. Setiap perkara, biarpun perkara mudah yang saya lakukan adalah lahir dari idea yang baik. Tetapi saya berhenti, kerana saya menganggap saya sudah hebat, dan tidak perlu berusaha memerah otak menghasilkan idea lagi. Idea akan muncul secara ajaib. Tetapi apa yang muncul hanyalah ketandusan kreativiti. Saya tidak mampu menghasilkan apa-apa idea lagi.
Demi kejayaan, saya sering fokus kepada klien dan projek, dan tidak menghiraukan soal wang. Lantas, keuntungan datang melimpah-ruah. Dan tumpuan saya mula beralih, saya lebih kerap bercakap dengan broker saham dan agen hartanah, dan bukannya kepada klien saya.
Demi kejayaan, saya sentiasa suka melakukan setiap perkara yang saya lakukan, walaupun saya terlibat dengan perkara yang saya tidak suka, seperti pengurusan. Saya pengurus yang paling teruk di dunia. Tetapi saya anggap saya patut melakukannya, kerana sayalah pengarah syarikat itu.
NAMUN, tidak lama kemudian, fikiran saya mula bercelaru. Dari luaran saya sangat berjaya, tetapi dalamannya saya sangat murung. Tetapi saya seorang lelaki, saya tahu cara memperbaikinya. Saya beli sebuah kereta mewah dan laju, ia tidak membantu, saya nampak lebih maju, tetapi masih murung.
JADI, saya berjumpa doktor, saya berkata, “Doktor, saya boleh beli apa yang saya mahu, tetapi saya tidak bahagia, saya murung. Memang benar seperti apa yang orang katakan, wang tidak boleh membeli kebahagiaan, tetapi saya tidak percaya sehingga ia berlaku kepada saya.” Doktor berkata, “Betul, tetapi wang boleh membeli ubat.” Lalu, dia berikan saya ubat anti kemurungan, dan kemurungan saya hilang sedikit, tetapi begitu juga semua kerja saya, kerana saya tidak fokus kepada kerja, saya tidak peduli jika klien menghubungi saya atau tidak.
Dan, klien pula tidak menghubungi saya lagi, kerana mereka lihat yang saya tidak lagi berkhidmat untuk mereka, saya hanya melayani diri saya. Lantas, mereka salurkan wang dan projek mereka kepada orang lain yang boleh berkhidmat dengan lebih baik kepada mereka.
Justeru itu, tidak lama kemudian perniagaan saya jatuh terhempas. Saya dan pengurus saya perlu memberhentikan semua pekerja. Hanya tinggal kami berdua, dan hampir muflis. Dan itu yang bagusnya, kerana tanpa pekerja, tidak ada sesiapa lagi yang perlu saya uruskan.
SEKARANG :
Saya
kembali, dan mula melakukan projek-projek yang saya suka. Saya
rasa seronok semula. Saya bekerja lebih gigih. Dan untuk meringkaskan cerita ;
saya
lakukan semua perkara yang membawa saya kepada kejayaan. Tetapi
ia bukan satu perjalanan yang singkat. Ia
mengambil masa yang lama.
Akhirnya, perniagaan saya mula menampakkan hasil, moga terus berkembang lebih besar dari dulu. Dan apabila saya kembali mengikuti prinsip-prinsip kejayaan (akan diceritakan kemudian), kerunsingan di kepala saya hilang sepenuhnya. Dan pada satu hari ketika saya bangun dari tidur, saya berkata, “Saya tidak perlukan ubat ini lagi.” Dan saya membuangnya.
SAYA BELAJAR BAHAWA, kejayaan bukanlah satu jalan sehala. Ia juga tidak seperti jalan dua hala. Ia sebenarnya lebih dari itu. Ia suatu perjalanan yang berterusan. Dan jika kita mahu mengelakkan “sindrom kejayaan menuju kegagalan”. Kita perlu ikut prinsip-prinsip kejayaan. Kerana ia bukan sahaja merupakan cara kita untuk mencapai kejayaan, malah ia adalah cara kita untuk mengekalkannya.
Semoga kejayaan anda dan saya akan berterusan. Terima kasih.
🍍🍍🍍🍍🍍🍍🍍
~
Marilah kita berkongsi apa yang membuatkan kita berbeza...
~
Kejayaan itu adalah satu perjalanan yang berterusan… Moga Allah Bantu Kita...
No comments:
Post a Comment