Monday, 1 January 2018

Selamat Menambah Angka Baru Pada Kiraan Tahun

1. Menjelang tahun baru, ramai yang menyambutnya. Samada hari pertama Januari ataupun Muharram, Islam tidak pernah menetapkan sambutan khusus buat tahun baru.
Tiada ibadat khas sempena tahun baru seperti solat tahun baru, atau puasa tahun baru. Ya, tidak menjadi masalah jika manusia ingin menyiapkan diri mereka menghadapi tahun baru. Mungkin mereka ingin menetapkkan sasaran, perancangan dan idaman. Jika perancangan itu untuk kebaikan, seseorang akan memperolehi pahala. Begitulah sebaliknya.
2. Jika angka tahun baru tidak datang pun, waktu dan hari tetap terus berputar dan tiada bezanya antara tahun lepas dan tahun ini. Ia terus berjalan seperti biasa sehingga sampai detik ia berhenti. Umur setiap kita akan terus bertambah, samada menjelang tahun baru ataupun tidak. Jika tidak bertambah tahun, ia bertambah bulan. Jika tidak bertambah bulan, ia bertambah hari. Jika tidak bertambah hari, ia bertambah jam dan minit dan akan terus meningkat ke hari, bulan dan tahun. Sementara perhentian iaitu kematian, tidak pula kita tahu waktunya yang tepat. Namun yang pasti apabila ia sampai, tidak dilewatkan walaupun sesaat jua. Kita hamba Tuhan di persada masa.
3. Ya, hari dan waktu akan terus datang dan pergi. Jika jam, matahari dan bulan berhenti, masa tetap berjalan. Tiada makhluk yang dapat menghalang kedatangan waktu dan masa. Demikian tiada siapa pun yang dapat menahan ia pergi. Samada manusia menunggu untuk menyambut kedatangannya atau tidak mempedulikannya, ia tetap menjelang. Demikian juga, waktu dan masa akan terus pergi sekalipun kita menyayanginya dan mengharapkan ia terus tunggu. Entah berapa banyak diari yang dicatatkan, entah berapa banyak sanjungan yang diberikan, entah berapa banyak kejian yang dilontarkan, dengan berlalunya waktu, ia menjadi sejarah dan kenangan. Maka, entah berapa ramai manusia yang dipuji semalamnya, dilupai pada hari ini. Entah berapa ramai yang diperlekehkan semalam, disanjung pula pada hari ini. Berapa ramai mereka yang bongkak dan sombong semalam, hari ini berbicara bagaikan pengemis yang merintih simpati.
4. Demikian juga, entah berapa ramai yang diketepikan semalam, mungkin berkuasa atau diangkat pada hari ini. Wajah-wajah yang dahulunya comel dan cantik boleh berubah menjadi kusam dan masam. Tempat yang hening dan indah juga boleh bertukar menjadi sungul dan usang. Pemuda yang gagah akan bertukar menjadi orang tua yang mengah. Gadis yang cantik akan bertukar menjadi nenek. Perjalanan waktu dan masa adalah keajaiban ciptaan Tuhan.
5. Ramai orang lupa bahawa masa itu adalah makhluk Allah. Kita diciptakan dan diletakkan dalam perjalanan makhluk masa ini. Masa itu tiada siapa yang dapat menongkah pusingannya. Ia merubah segala-gala. Dari yang tiada kepada ada. Dari yang ada kepada tiada. Tiada siapa yang mampu menghalangnya melainkan Tuhan yang menciptakannya.
6. Masa mengubah kita. Mengubah anggapan manusia sesama mereka. Ia mengubah perasaan dan rasa. Ia mengubah benci dan cinta. Ia mengubah gembira dan duka. Namun waktu tidak boleh mengubah hakikat sesuatu di sisi Allah. Di sisi Allah, insan yang mulia tetap mulia walaupun manusia menghinanya. Insan yang keji tetap keji, walaupun manusia memberikannya kuasa dan harta.
7. Diri kita, atau sesiapa sahaja, sama orang biasa atau hartawan atau penguasa atau bangsawan yang meraikan harijadi setiap kali menjelang musimnya dengan mendapat hadiah dan kurniaan daripada orang lain ataupun menganugerahkan pelbagai kurniaan kepada orang lain, belum tentu diri sendiri mendapat darjat yang tinggi di sisi Allah. Bahkan, mungkin belanja harijadi kita itu akan menjadi beban kepada kita pada hari akhirat kelak; dari mana wang itu datang dan bagaimana ia digunakan?!
8. Seorang miskin di ceruk yang terpencil yang tiada siapa yang mengambil tahu hari lahirnya dan tiada pula anugerah atau hadiah yang diperolehi pada hari lahirnya, namun, itu bukan tanda kehinaan buatnya. Bahkan jika dia hamba Allah yang baik, umurnya dan waktunya dilimpahi pahala dan keberkatan.
9. Maka, insafilah diri, waktu dan masa akan terus menjelang, mengejar si kaya, juga mengejar si miskin yang tiada apa-apa. Mengejar kita semua untuk sampai ke perhentian masing-masing. Pabila sampai ke detik penghabisan, kita bertemu Tuhan. Ketika itu yang dinilai adalah hakikat yang sebenar, antara insan yang beruntung dan insan yang rugi. Demikianlah amaran dan tuntutan Surah al-Asr!
SELAMAT MENUKAR ANGKA TAHUN KITA KE 2018
 
Sumber | Kredit :
FB - DrMAZA.com

 
Join Us NOW!

🍍🍍🍍🍍🍍🍍🍍
~ Marilah kita berkongsi apa yang membuatkan kita berbeza...
~ Kejayaan itu adalah satu perjalanan yang berterusan… Moga Allah Bantu Kita...

https://eztartutama.blogspot.my

No comments:

Post a Comment

Next Page Home
Blogger Widget